KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan lima pegawai di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, lima pegawai itu ditahan pada Khamis lalu selepas disyaki terbabit kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, JIM bersedia untuk memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan lanjut pihak SPRM.
“JIM menyerahkan kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan pihak kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurutnya, tindakan dan hukuman yang serius akan diambil termasuk buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.
Katanya, JIM serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai Jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum.
“Pelbagai program sudah dilaksanakan bagi menerapkan nilai integriti yang tinggi dalam diri setiap pegawai imigresen.
“Selain daripada itu, Jabatan ini sentiasa bekerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM dalam usaha memerangi penyeludupan migran,” katanya.
Terdahulu, SPRM menahan reman sembilan individu termasuk lima pegawai penguatkuasa dalam satu operasi Ops Lancar.
Semua tahanan dikenakan reman selama enam hari bermula semalam sehingga Rabu depan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu di Mahkamah Majistret Tawau.