KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas NGO-Orang Tanpa Kewarganegaraan (OTK) Sabah (JPPK NGO-OTK Sabah) yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Gabungan NGO-NGO Islam Sabah (CONCERN) menyambut baik keprihatinan dan dokongan kepada prinsip kemanusiaan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob berhubung kes kewarganegaraan Cik Rohana Abdullah dan ibu angkatnya Chee Hoi Lan.
Keprihatinan yang sama juga dilahirkan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin seperti berita yang tular di media sosial berhubung kes berkenaan.
“Kes sama juga mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku di Sabah, “ kata Pengerusi CONCERN, Haji Sainuri Yahmin.
Menurutnya, berdasarkan laporan berita daripada pelbagai media, tidak kurang daripada 800,000 orang tidak ada kewarganegaraan (OTK) di Sabah dan semua pihak sedia maklum isu ini amat menggusarkan kerana peningkatan jumlah OTK amat ketara setiap tahun.
“Anak-anak mereka yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan dan kemudahan kesihatan sangat berpotensi menjadi punca kepada rantaian masalah sosial yang sekaligus berupaya mengancam perpaduan serta keselamatan negara.,” katanya.
Selari dengan keprihatinan kerajaan, JPPK NGO-OTK Sabah berpendirian amat wajar kerajaan memberi perhatian khusus dan mempunyai satu plan strategik penyelesaian yang komprehensif merentasi pelbagai fahaman bagi memastikan fenomena ini tidak berlarutan, tegasnya.
Tepat pada masanya pihak penggubal dasar dan undang-undang negara menyediakan undang-undang domestik yang lebih jelas untuk menangani isu ini.
Selain kerangka perundangan, JPPK NGO-OTK Sabah amat menyokong agar pihak kerajaan melihat sudut positif bagi kemungkinan menandatangani Konvensyen Hak Asasi Manusia PBB mengenai Orang Tanpa Kewarganegaraan agar wujud satu kerangka dasar hak asasi manusia yang jelas seperti negara-negara berdaulat lain sebagai garis panduan bertindak oleh pihak berkuasa.
Katanya, JPPK NGO-OTK Sabah juga bersedia menawarkan bantuan dan sokongan terhadap sebarang langkah menangani isu ini oleh pihak Kementerian Dalam Negeri Malaysia.
JPPK NGO-OTK Sabah yang mempunyai gabungan kepakaran berkaitan juga bersedia mengambil tanggungjawab dan peranan bersama dengan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan bagi menangani isu ini.
Pihak Jawatankuasa amat yakin usaha penyelesaian secara Bersama yang berani berlandaskan pertimbangan undang-undang dan kemanusiaan mampu menawarkan penyelesaian jangkapanjang sekaligus dapat mengelakkan daripada ledakan rantaian masalah yang diakibatkan oleh isu yang berlarutan ini.