Oleh Hassim Haji Othman
KOTA KINABALU: Dalam menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan Negara pada tahun ini Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) Rumah Pangsa Tanjung Aru melalui Biro Pembangunan Dan Prasarana turut menganjurkan program Kempen Kibar Jalur Gemilangan Rumah Pangsa Tanjung Aru 2021.

SERAH … Riz Faizal (kanan) menyerahkan sumbangan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada Abdul Rahman Abdul Samad, Ketua Blok 5.
Ketua bironya Riz Faizal Ahmad berkata, program Kempen Kibar Jalur Gemilang Rumah Pangsa Tanjung Aru 2021 kita jangkakan akan lebih meriah dan menarik daripada tahun tahun sebelum ini.
Menurut Riz Faizal, atas kepercayaan Pengerusi JKDB Rumah Pangsa N22 Tanjung Aru Asneh Libong beliau menaruh keyakinan dan harapan agar program Kibar Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah di kawasan perumahan ini akan lebih meriah.

SERAH … Riz Faizal (kanan) menyerahkan sumbangan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada Samsul Mahmud, Ketua Blok 1.
Katanya, objektif program ini antara lain adalah untuk meningkatkan semangat patriotik dan cintakan tanah air kalangan penghuni kawasan perumahan ini.
“Selain itu program ini diharap dapat memupuk semangat muhibbah dan sekali gus mengeratkan silaturahim di kalangan komuniti setempat,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah di perkarangan Surau Al-Mukminin Rumah Pangsa Tanjung Aru pada Ahad.

KIBARKANLAH … Riz Faizal (kanan) menyerahkan sumbangan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada setiap ketua blok dan wakil ketua blok.
Dalam pada itu menurut Riz Faizal, lazimnya dua perkara yang akan dilakukan bagi menzahirkan perasaan gembira menyambut kemerdekaan iaitu menyanyikan lagu patriotik dan mengibarkan bendera negara.
“Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah adalah objek yang amat kita banggakan sebagai seorang warganegara Malaysia. Ia menunjukkan simbol pengorbanan, kebebasan dan kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau mengharapkan ketua-ketua blok di Rumah Pangsa Tanjung Aru ini akan turut bekerjasama memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang dan Bandera Negeri Sabah yang diedarkan.
“Biro kita juga akan cuba berusaha menghias kibarkan kawasan bangunan dan sekitar dengan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah,” katanya.
Katanya, senario Covid-19 di negara kita hari ini tidak akan melunturkan semangat patriotik cintakan negara khususnya penduduk di Rumah Pangsa Tanjung Aru ini.

SEMANGAT … Blok 5 nampak ceria dengan pemasangan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah.
“Dengan tema sambutan Hari Kebangsaan ‘Malaysia Prihatin’ kita harapkan agar semua penduduk di kawasan perumahan ini akan sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah,” katanya.
Sempena majlis Penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah itu, Riz Faizal telah menyampaikan sumbangan Jalur Gemilang dan Bandera Negeri Sabah kepada ketua-ketua blok untuk di pasangan di setiap blok masing-masing.
Turut hadir ialah Pengerusi Surau Al Mukminin Rumah Pangsa Tg. Aru Nurfaizul Jimbul dan jawatankuasanya.