Jumlah mangsa air pasang, banjir meningkat

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa terjejas air pasang dan banjir di seluruh negeri ini dilaporkan meningkat, setakat jam 4 petang Isnin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, setakat ini, jumlah mangsa meningkat sebanyak 21 mangsa berbanding jam 8 pagi tadi.

Katanya, ia menjadikan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,647 orang daripada 371 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Daerah Pitas kekal mencatatkan jumlah mangsa keseluruhan tertinggi dengan 768 mangsa daripada 177 KIR.

“Ia diikuti dengan daerah Sandakan yang mencatatkan sebanyak 684 mangsa daripada 122 KIR,” katanya.

Menurutnya, daerah Kota Belud mencatatkan seramai 139 mangsa daripada 57 KIR dan 54 lagi mangsa membabitkan 15 KIR pula dari daerah Kota Kinabalu.

“Semua mangsa yang terkesan akibat bencana ini ditempatkan di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan di daerah-daerah terbabit.

“Di Pitas, sebanyak enam PPS kekal beroperasi setakat ini, antaranya ialah Balai Raya Agropolitan Kg. Pinggan-Pinggan (297 orang), Dewan Kg. Mempakad (163 orang), dan Dewan Terbuka Kg. Rosob (156 orang).

“Selain itu, ialah Gereja SIB Kg. Luntuk (79 orang), Dewan SMK Pinggan-Pinggan (57 orang) dan Dewan Terbuka Kg. Salimpodon (16 orang).

“Manakala, di Kota Belud, terdapat dua PPS beroperasi iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa (77 orang) dan Dewan SK Pekan (62 orang).

“Sementara di Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing kekal dengan satu PPS aktif, iaitu Dewan Muhibbah Sembulan (54 orang) dan SK Sungai Anib 2 (686 orang),” katanya.

scroll to top