Kabinet kerajaan negeri akan dirombak

HAJIJI NOOR

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan Kabinet kerajaan negeri akan dirombak.

Bagaimanapun, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Hal itu disahkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun berkata parti itu bersedia untuk membuktikan keabsahan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri, susulan difahamkan ada pihak tertentu mendakwa memperoleh lebih separuh sokongan untuk membolehkan kumpulan itu menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Semalam semua tujuh ADUN Pakatan Harapan Sabah berkata mereka tidak akan menyokong kerajaan yang dibentuk melalui ‘pintu belakang’ dan berpendirian sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan baharu seharusnya berdasarkan agenda yang konstruktif dan polisi yang baik, demi kepentingan rakyat negeri itu.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai sokongan 59 ADUN iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3) dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Bangsa Malaysia, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.-BERNAMA.

 

scroll to top