Kad prabayar elektrik akan diperkenal di penempatan setinggan

NORHIZAMI

KOTA KINABALU: Kaedah kad prabayar akan diperkenalkan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk pengguna di kawasan penempatan setinggan yang layak bagi membanteras aktiviti penyambungan haram.

Ketua Pegawai Transformasi Ir. Norhizami Abu Hasan memaklumkan bahawa kerajaan negeri pada dasarnya telah meluluskan cadangan SESB untuk menggunakan kaedah ini bagi bekalan elektrik di kawasan penempatan setinggan yang akan dikenal pasti.

Menurutnya, dengan menggunakan kaedah ini, bekalan elektrik yang diberikan kepada penduduk kawasan penempatan setinggan lebih memudahkan kerana pengguna hanya perlu menambah nilai kad berkenaan mengikut kesesuaian penggunaan isi rumah setiap bulan.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan SESB sedang dalam proses memuktamadkan prosedur dan tatacara pembekalan ke kawasan penempatan setinggan berkenaan di seluruh negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah merangkap Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi Khairul Firdaus Akhbar Khan pada Sabtu yang menyatakan bahawa kerugian jutaan ringgit yang dialami oleh SESB ekoran kecurian elektrik disebabkan oleh karenah birokrasi pihak SESB sendiri.

“SESB memahami keperluan bekalan elektrik amat penting kepada setiap premis tetapi untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku, penyambungan secara haram amat ditegah dan kita perlu pastikan bekalan elektrik diperolehi secara sah mengikut prosedur sedia ada serta turut mematuhi aspek keselamatan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Sementara itu, Norhizami turut menegaskan bahawa SESB akan terus melaksanakan operasi membanteras aktiviti mencuri elektrik atau penyambungan haram dan beliau turut menyeru kerjasama yang jitu dan padu daripada semua pihak yang berkaitan.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab mencuri elektrik dan mengusik meter bukan sahaja akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada SESB malah boleh mengundang bahaya seperti litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran dan kemalangan elektrik.

Menurutnya, aktiviti penyambungan haram bekalan elektrik ini juga sekali gus mengganggu kestabilan bekalan elektrik apabila permintaan melebihi kapasiti sehingga menyebabkan gangguan bekalan terhadap pengguna-pengguna yang sah serta menjejaskan aktiviti perniagaan dan keselesaan rakyat.

scroll to top