Kapal kontena hanyut di perairan Pulau Pom Pom

HANYUT: Kapal kontena yang hanyut di perairan Pulau Pom Pom, Semporna.

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna menerima maklumat daripada Zon Maritim Lahad Datu berkenaan sebuah kapal kontena hanyut disebabkan jentera utama gagal berfungsi di perairan Pulau Pom Pom Semporna, pagi kelmarin.

Menurut kenyataan media Maritim Malaysia hari ini, kapal yang berdaftar dengan nama Danum 171 milik syarikat Shin Yang Shipping Sdn Bhd dikatakan dalam pelayaran daripada Kota Kinabalu menuju ke Tawau, mengalami kerosakan pada janakuasa utama semasa melalui kawasan perairan pulau Pom Pom dan gagal dikemudikan lalu hanyut ke arah Pulau Pom Pom.

Bot Peronda Cenderawasih 09 dan Bot Adal 18 kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian untuk mengawasi dan kawalan keselamatan persekitaran bagi mengelakkan berlaku sebarang insiden.

Kira-kira jam 4.00 petang, Danum 171 ditunda keluar oleh bot tunda Santalu 36 dari kawasan perairan berkenaan dan dibawa menuju ke Lahad Datu untuk pembaikan sebelum meneruskan pelayaran.

Kesemua kru kapal seramai lebih kurang 17 orang selamat di atas kapal berkenaan.

Zon Maritim Semporna membuat pemantauan terhadap kapal berkenaan kira-kira jam 10 pagi kelmarin sehingga kapal selamat berlabuh di pelabuhan kontena Lahad Datu kira-kira jam 8.05 pagi hari ini.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada semua komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619.

scroll to top