Karya pelukis tempatan wajar diketengahkan lebih luas

TAHNIAH..Jawatankuasa Pembangunan Seni Visual dan Kraftangan Lembaga Pengarah BSLS bergambar selepas mesyuarat.

KOTA KINABALU:  Balai Seni Lukis Sabah (BSLS) hendaklah meneroka pendekatan baru bagi mempromosi dan memperkenalkan karya-karya pelukis tempatan agar lebih dikenali di peringkat yang lebih luas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Seni Visual dan Kraftangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kebudayaan Sabah,  Laisok Laikim berkata karya-karya pelukis tempatan memiliki nilai seni yang tinggi dan wajar diketengahkan secara lebih meluas kepada masyarakat.

Laisok juga mengucapkan tahniah kepada BSLS kerana berjaya mengadakan beberapa program besar sepanjang tahun ini seperti Pameran Bakat-Bakat Baharu ke-19 (20 Februari-15 April), Program Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah ke-37 (20 Februari-20 Ogos), Pameran Karya Undangan ke-29 (25 April-18 Julai), Pameran Karya Wanita Sabah ke-13 (22 Julai-28 Oktober) Majlis Penyampaian Anugerah Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah ke-37 (21 Oktober) dan Pameran Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah ke-37 (1 November-1 Februari 2023).

BSLS juga berjaya mengadakan sebanyak 24 program  pameran dan acara anjuran luar dan usahasama BSLS sepanjang tahun 2022.

Antaranya Pameran Wonders of Wilderness (WOW 1.0) The Ocean, Kuratorial Galeri Bajau Sama, Instalasi Chandelier Galeri Rumpun Bajau Sama, Pameran Travelling Exhibition  Japan (Japan Foundation),  Pameran Travelling Exhibition Photographic Images and Matter, Pameran Retrospektif Christianne Goonting, Pameran Solo Abdullah Ehlid Al Walid Luli, Pameran Ahli Kaligrafi Penatua Malaysia, pameran Demontrasi Anyaman suku kaum Murut Tangala dari Kampung Inarad Tongod oleh Adiguru Dainsing Darum, Bengkel Coaster Anyaman Plastik Aluminium, Bengkel Kraf Bunga Kulit Jagung dan sebagainya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Seni Visual dan Kraftangan Lembaga Pengarah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat, Balai Seni Lukis Sabah (BSLS), di sini.

Antara AJK yang hadir dalam mesyuarat itu ialah Abdul Rahman Omar, Puan Vivian Evans @ Ann Stephen Robert Evans, Puan Christianne Goonting, Abd Naddin Haji Shaiddin, Wong Lee Kah @ Lewis Wong.

Sementara itu, Penolong Pengarah BSLS, Eva Anani Baggai  memberitahu seramai 20,226  pelawat mengunjungi Balai Seni Lukis Sabah setakat Oktober tahun ini.

Jumlah ini dijangka meningkat tahun depan ketika situasi dunia semakin pulih.

Eva juga berkongsi rasa gembira atas kejayaan BSLS mendapat penarafan emas 86.1 peratus kepuasan dalam  Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA 2.0).

Kejayaan ini amat membanggakan disamping melalui penilaian ini kita dapat melihat kelemahan kita dari sudut pandang orang lain,” katanya.

scroll to top