KDCA cadang Pairin calon TYT seterusnya

PAIRIN KITINGAN

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) mencadangkan, Tan Sri Pairin Joseph Kitingan sebagai calon Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah seterusnya.

Setiausaha Agung pertubuhan itu, Suman Yasambun berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai sumbangan dan faktor penting bekas ketua menteri terbabit.

Katanya, Pairan amat sesuai kerana beliau aktif dalam mempromosikan perpaduan antara kepelbagaian kaum di negeri ini.

“KDCA meletakkan nama beliau sebagai calon yang kami rasakan sebagai pilihan terbaik untuk menyandang jawatan TYT.

“Ia termasuk melihat kepada usianya yang sudah mencecah 82 tahun dan kebijaksanaannya yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat KDCA, di Penampang.

Suman berkata, Pairin turut aktif dalam mempromosikan perpaduan di antara kepelbagaian kaum di Sabah melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, sekiranya dipertimbangkan, Pairin akan menjadi aset yang sangat baik untuk kerajaan negeri kerana beliau merupakan individu yang tepat untuk mewakili negeri.

Kami berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk melantik beliau sebagai TYT negeri ini.

“Hal ini kerana kami difahamkan penyandang jawatan TYT Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dijangka akan tamat penggal sebagai Gabenor Negeri Sabah tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Suman berkata cadangan pencalonan itu dibuat dengan mengambil kira peruntukan Artikel I Perlembagaan Negeri Sabah, yang tidak mensyarat keperluan fahaman kepercayaan agama jawatan TYT Yang Dipertua Negeri Sabah.

Katanya, kedudukan ini adalah selaras dengan salah satu syarat yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

scroll to top