Kebenaran Sementara Bagi Solat Jumaat di Surau Terpilih

YASIN ... Ariffin (kiri) dan Kadzim (dua dari kiri) membaca Surah Yasin.

KOTA KINABALU: Kebenaran sementara  diberikan kepada beberapa surau terpilih untuk pelaksanaan Solat Jumaat.

Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Ariffin Mohd Arif memaklumkan kebenaran diberikan kepada jawatankuasa di beberapa kawasan yang telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) setelah mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ia adalah alternatif yang diambil bagi membolehkan umat Islam menunaikan Solat Jumaat khususnya, oleh kerana jumlah jemaah yang terhad bagi mengekang penularan wabak.

“Mengenai pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, kita menyambut baik saranan dua dos vaksin bagi membenarkan solat jemaah di masjid.

“Oleh itu, melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah, Jheains dan juga Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), kita mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah sekiranya ada kelonggaran yang dapat diberikan dari segi jumlah jemaah di masjid dan surau.

“Namun begitu, ia masih tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 di negeri ini,” jelasnya kepada media selepas Majlis Kesyukuran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M di Masjid Negeri, pada Isnin.

Hadir sama, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya, Setiausaha Persekutuan, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Pembantu-Pembantu Menteri.

DOA … Kadzim (kiri) dan Shahelmey (dua dari kiri) menadah tangan bagi doa akhir tahun dan awal tahun.

Menurut Mohd Arifin, majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun hijrah yang diadakan di seluruh Sabah diharapkan dapat mengukuhkan kekuatan dari sudut kesabaran, ketabahan dan muafakat bersama dalam melandaikan lekuk Covid-19 di negeri ini.

Majlis bermula dengan bacaan doa akhir tahun 1442H dan awal tahun 1443H yang dipimpin oleh Timbalan Mufti Negeri, Sahibul Fadhilah Dr Mohammad Ali Abdullah.

Ia disusuli dengan solat fardhu Maghrib yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting yang turut memimpin bacaan Surah Yasin serta tahlil ringkas selepas solat.-Penerangan.

scroll to top