KOTA KINABALU: Kebijaksanaan dan keberadaan graduan bakal membawa kepada kemajuan dan kekuatan kepada masyarakat.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, para graduan perlu sentiasa peka kepada perubahan semasa, berilmu dan berakhlak mulia serta tidak mudah lentur dalam menghadapi cabaran.
“Dengan sikap yang utuh dan kental ini para graduan akan mampu membina semula negara Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, berprestij dan disegani ramai.

Sebahagian graduan daripada Fakulti Kejuruteraan semasa merakamkan gambar kenangan selepas Majlis.
“Graduan juga masih muda dan mempunyai akal, tenaga dan minda yang kreatif maka limpahkanlah rasa cinta dan usaha agar hasilnya boleh dinikmati bersama oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari esok,”ujarnya semasa menyampaikan perutusan dan mengisytiharkan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24 Tahun 2022 di Dewan Canselor UMS, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Tun Juhar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua ibu bapa atas kecekalan mendorong anak-anak belajar hingga ke menara gading.
“Pengorbanan ibu bapa merupakan pembakar semangat anak-anak untuk berjaya dan diharap pengorbanan itu juga akan mendapat sebaik-baik ganjaran daripada Allah SWT.
“Diharap juga semoga segala hasrat para graduan untuk diri, masyarakat, bangsa dan negara ini mendapat rahmat daripada Allah SWT,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Tun Juhar yang juga Canselor UMS menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera) masing-masing diberikan kepada Kristy Samunting dari Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) dan Low Yee Teng dari Fakulti Perhutanan Tropika (FPT).

Suasana semasa Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah(UMS) kali ke-24 Tahun 2022.
Manakala, Anugerah Pingat Emas Canselor pula dianugerahkan kepada Yau Chee Xian dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor diberikan kepada Wong Chee Hung dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).
Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-24 meraikan seramai 4,298 graduan bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Diploma Lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma masing-masing pada 10 hingga 12 Disember ini.-PENERANGAN.