KUDAT: Pasukan Polis Marin Kudat (PPM) berjaya menahan lima individu yang membawa barang kawalan dipercayai diseludup ke negara jiran dengan menggunakan bot pam melalui kawasan Laut Utara Pulau Banggi, kelmarin.
Pegawai Pemerintah PPM Kudat ASP Cyrill Douglas berkata, pemantauan dan risikan mendapati individu terbabit yang berumur antara 21 hingga 48 tahun membawa barang-barang kawalan untuk dijual ke Filipina.
“Hasil pemeriksaan terhadap tiga buah bot pam yang dinaiki kelima-lima lelaki terbabit menjumpai pelbagai jenis barang kawalan disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
“Nilai keseluruhan tangkapan dan rampasan berjumlah RM61,839,” katanya.
Beliau berkata, semua barang yang dirampas dan tangkapan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Cyrill berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197.