Kehadiran orang utan gemparkan penduduk

ORANG utan masuk kebun penduduk kampung akhirnya berjaya ditangkap.

KUNAK: Kehadiran seekor orang utan di sebuah kebun pisang di Kampung Dasar Baru, Kunak 3, di sini, semalam, mengemparkan penduduk kampung.

Bimbang dengan faktor keselamatan, penduduk terus bertindak menghubungi Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk mendapatkan bantuan segera.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai JHL dikerah membantu di lokasi kejadian.

Katanya, haiwan yang dipercayai tersesat itu kemudiannya berjaya ditemui semula sebelum ditembak menggunakan ubat pelali.

“Orang utan jantan seberat 65 kilogram itu terus dimasukkan ke dalam sangkar dan dibawa balik untuk pemeriksaan kesihatan.

“Setakat ini, orang utan berkenaan berada pada tahap kesihatan terbaik tanpa kecederaan dan masih ditempatkan di Pusat Pemulihan Orang Utan, Sepilok, untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Augustine berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan kesihatan termasuk imbasan sinar-X sebelum dibebaskan semula di kawasan hutan.

Katanya, setakat ini, pihaknya bercadang untuk melepaskan semula haiwan berkenaan sama ada di kawasan hutan Lembah Danum ataupun Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

scroll to top