LABUAN: Kelab Catur Sekolah Kebangsaan Patau-Patau (SKPP) mengambil inisiatif menganjurkan bengkel secara maya untuk para pemain yang bakal mewakili sekolah di Kejohanan Catur Peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSWWPL) yang bakal diadakan pada 21 Ogos ini.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Patau-Patau, Rosli Mohd Ali, berkata bengkel tersebut diadakan sebagai persediaan yang mencukupi sebelum murid-murid menyertai kejohanan tersebut.

MARIANA MAHYUDIN
Katanya, kekangan pertemuan secara bersemuka antara murid dan guru menjadi cabaran utama dalam masa-masa pandemik yang masih melanda negara pada ketika ini.
“Bengkel secara maya ini merupakan salah satu kaedah yang paling sesuai pada masa ini agar murid-murid masih memperoleh maklumat dan informasi yang diperlukan berkenaan kejohanan tersebut,” katanya.
Rosli berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sebelum bengkel bermula.
Bengkel ini diserikan dengan kehadiran Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Kampus Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah (UMSKAL), Wilayah Persekutuan Labuan, Jonathan Likoh.
Beliau juga merupakan salah seorang jurulatih catur yang berpengalaman dan telah lama berkecimpung dalam dunia sukan dan permainan catur ini.
Jonathan berharap semua murid dapat mempraktikkan segala ilmu yang diperolehi daripada bengkel selama dua jam setengah itu.
“Latihan kendiri amatlah penting bagi menyesuaikan diri terhadap sistem kejohanan yang akan dilaksanakan melalui aplikasi lichess secara atas talian,”katanya.
Sementara itu, menurut penyelaras bengkel, Mariana Mahyudin, bengkel tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 41 orang peserta yang menghimpunkan pemain-pemain yang akan mewakili Sekolah Kebangsaan Patau-Patau di Kejohanan Catur Peringkat MSSWPL pada tahun ini.

PESERTA … Peserta bergambar kenangan bersama Jonathan dan Rosli.
Katanya, bengkel itu turut dimeriahkan dengan kehadiran guru-guru dan murid-murid daripada empat sekolah iaitu Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha, Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan St. Anne, Sekolah Kebangsaan Membedai dan juga Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan.
Bengkel yang bermula pukul 2.30 dan tamat pukul 5 petang itu diakhiri dengan sesi penyampaian e-sijil buat penceramah dan sesi fotografi bersama para peserta.