Kelab Penulis Malaysia diwujudkan di Mesir

RAMAI BERBAKAT…Zamani (kanan) memberi penerangan mengenai foto-foto bersejarah di Kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir ketika kunjungan hormat PPJ dan MARSAH ke Kedutaan Malaysia.

KAHERAH : Kelab Penulis Malaysia Mesir akan diwujudkan bagi mengembangkan bakat penulis mahasiswa di negara itu.

“Ramai mahasiswa Malaysia seperti dari Universiti Al-Azhar mempunyai bakat dan pun menerbitkan buku,” kata  Duta Malaysia di Republik Mesir, Zamani Ismail.

Menurut beliau, kini terdapat 32 buah persatuan pelajar di Mesir, dengan jumlah pelajar seramai 6,800.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Persatuan Penulis Johor (PPJ)  dan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) di pejabat kedutaan Malaysia di Kaherah baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md.Ali Hanafiah; Dekan Sekolah Kolej MARSAH, Yazid Bahrin dan Ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor, Prof.Dato’ Dr.Kassim Thukiman.

“Pelajar bukan sahaja akan diperkenalkan dengan karya penulisan tetapi juga perlu memahami hal-hal negara Malaysia” tambah Zamani lagi.

Bagi merealisasikan usaha ini, seramai 100 mahasiswa akan menyertai Seminar Penyelidikan dan Penerbitan anjuran PPJ dan Kolej MARSAH yang bertujuan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu ke negara penutur Bahasa Arab.

Katanya, usaha ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempelopori gagasan ‘Malaysia Madani’.

Menurut Amiruddin, hal ini sekaligus dapat menjadikan Malaysia dikenali sebagai negara yang memiliki jati diri dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

scroll to top