Kelembapan dan suhu mencecah sifar darjah celsius, punca salji terbentuk

SALJI menyelubungi puncak Gunung Kinabalu.

KOTA KINABALU: Fenomena salji boleh terbentuk di Gunung Kinabalu apabila suhu mencecah sifar atau negatif darjah celcius dan ditambah dengan kelembapan yang mencukupi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena salji itu berdasarkan ketinggian lokasi dan suhu rendah di kawasan berkenaan.

Katanya, ia tidak mustahil berlaku bagi tanah tinggi seperti di Gunung Kinabalu disebabkan suhu udara boleh mencecah sifar darjah celcius atau berada di bawah takat beku.

Muhammad Helmi

“Salji boleh terbentuk dengan syarat adanya kelembapan yang mencukupi. Jadi biasanya apa yang berlaku ialah kita boleh lihat ‘frost’ iaitu ketulan ais yang berada di permukaan bumi, biasanya di batuan yang sejuk.

“Apa yang pasti, salji terbentuk apabila suhu sejuk di bawah takat beku dan adanya kelembapan yang mencukupi,” katanya bagi mengulas fenomena salji di Gunung Kinabalu, awal pagi, kelmarin.

Beliau berkata, dalam keadaan cuaca ketika ini atau keadaan angin yang perlahan atau tidak berangin, ia juga boleh menyumbangkan kepada pembentukan salji berkenaan.

“Ini suatu fenomena yang jarang kita lihat tetapi boleh berlaku,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi kelmarin, sebuah rakaman video berdurasi satu minit tular di media sosial yang memaparkan pendaki di Gunung Kinabalu teruja selepas melihat salji turun di kawasan Sayat-Sayat.

Cuaca sejuk dan salji itu dilaporkan turun berhampiran puncak gunung selama kira-kira dua minit.

Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu Justinus Guntabid berkata, kawasan yang dituruni salji berlaku di sekitar kilometer 7 hingga ke puncak gunung.

Katanya, keadaan cuaca yang lebih sejuk berbanding kebiasaannya dipercayai menjadi punca fenomena berkenan

“Kalau ikut rekod suhu dari jam 2 hingga 10 pagi, ia sekitar 6.9 hingga 12.3 darjah selsius manakala tahap kelembapan pula ialah 52 hingga 62 peratus.

“Kejadian kali ini sememangnya luar biasa kerana kebiasaannya hanya hujan ais atau pembekuan di sekitar kawasan puncak, apa yang dilihat pagi ini, ianya benar-benar salji,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justinus berkata, mengikut rekod sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku pada 1975 dan 1993.

scroll to top