Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN
SANDAKAN: Keputusan Kerajaan Negeri melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberikan banyak peluang dan manfaat kepada rakyat untuk membina semula kehidupan mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.
“Kelonggaran yang diberikan itu memberikan peluang kepada peniaga restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel untuk menjalankan perniagaan mereka bagi menjana sumber ekonomi,” kata Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Taman Murni Sandakan, Norhamzah @ Amir Hamzah Zakaria.
“Pada masa sama, orang ramai yang sudah lama terkurung di rumah berpeluang untuk menikmati makanan dan minuman kesukaan mereka dengan selesa kerana aktiviti makan dalam kedai (dine in) dibenarkan,” katanya.
Langkah Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor untuk melonggarkan SOP itu menunjukkan perhatian dan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
“Keputusan Datuk Hajiji untuk berpihak kepada rakyat berkaitan soal kelonggaran SOP ini amatlah dihargai,” katanya.
“Ini satu bukti kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat yang kehilangan sumber pendapatan,” katanya.
Bagaimanapun, Amir Hamzah meminta masyarakat agar terus mematuhi SOP seperti menjaga penjarakan sosial, sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak keluar rumah kecuali jika ada keperluan mendesak.
Amir Hamzah juga berkata, langkah Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) membenarkan dua pelanggan satu meja selain hanya membenarkan 50 peratus jumlah pelanggan dalam restoran dan kedai makan adalah sesuatu yang amat bertepatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mewakili penduduk PPR Taman Murni mengucapkan penghargaan dan terima kasih kerana penghuni PPR sudah menerima bantuan daripada wakil rakyat N52 Sungai Sibuga, Haji Mohamad Hamsan Awang Supain.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang memberikan bantuan kepada 480 penghuni yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PPKD) mulai 27 Jun hingga 10 Julai lepas.