Kembali Ke Kg Pondo Atau Berdepan Tindakan Undang-Undang

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menggesa kepada penduduk yang telah melarikan diri dari Kg.Pondo, Pulau Gaya kerana mengelak daripada berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) supaya kembali ke kampung berkenaan dengan kadar segera bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada komuniti lain.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Balai Polis Pulau Gaya pada ketika ini juga sedang mempergiatkan usaha mengesan semua 69 suspek yang dipercayai melarikan diri ketika berangkat ke PKRC.

“Kegagalan mereka kembali ke Kg. Pondo dan jika tertangkap oleh pihak berkuasa, mereka boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan akan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No.4) (Pindaan) (No.16) 2021,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan penduduk dari Kg Pondo, Pulau Gaya yang mengelak daripada dikenakan PKPD digesa supaya menyalurkan maklumat berkenaan ke balai polis terdekat.

Dalam pada itu, penduduk di lokaliti Taman Zifa, Beaufort diarahkan supaya melakukan kawalan kendiri dan saringan kontak PKPD di kawasan itu.

Beliau berkata, saringan kes di lokaliti PKPD Taman Zifa Beaufort menunjukkan peningkatan kes dengan 67 peratus dikesan positif meliputi 83 kes positif daripada 190 penduduk setakat ini.

Oleh itu katanya, pihak PKOB Daerah Beaufort memohon semua penduduk kawasan sekitar yang mengalami simptom dan bergejala agar mengambil pendekatan kawalan kendiri dengan hadir saringan di klinik kesihatan bagi membendung penularan kes di lokaliti berkenaan.

scroll to top