Kementerian Perpaduan punya peranan jayakan Malaysia Madani

TAHNIAH…Datuk Aaron menyampaikan sijil kepada Puan Rosmah Wading, Pengerusi Kesatuan Sekerja Jabatan Perpaduan Negeri sambil diperhatian Datuk James Ratib, Dato Indera Noridah dan Puan Delin Liet Blaun.

KOTA KINABALU: Kementerian Perpaduan Negara sedang giat merancang pelan tindakan dan pelaksanaan program bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum tentang kepelbagaian dan betapa pentingnya perpaduan bagi membentuk sebuah negara yang harmoni, sejahtera dan stabil.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementerian mempunyai peranan penting untuk menjayakan Malaysia Madani.

“Tonggak Dasar MADANI yang ke-2 dan ke-4 iaitu Kesejahteraan dan Hormat sangat berkait rapat dengan peranan Kementerian. Kesejahteraan difahami sebagai suatu kehidupan yang baik dan sering dikaitkan dengan kedudukan kewangan yang stabil serta rasa selesa dan selamat.

Hormat pula merupakan satu nilai yang menjadi asas untuk diamalkan khususnya dalam masyarakat yang mempunyai kepelbagaian agama, adat dan budaya bagi memastikan kehidupan yang harmoni”katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan dan Amanat bersama warga Kementerian dan agensi Negeri Sabah di Putera Ballroom, Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Program itu adalah lawatan kerjanya yang pertama ke Sabah dan yang keenam  selepas Sarawak, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan W.P. Labuan.

Sebelum itu beliau memulakan  sesi   lawatan kerja  ke Sabah dengan membuat tinjauan ke Kebun Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sembulan Baru.

Inisiatif Kebun Komuniti adalah  satu bentuk kolaborasi strategik antara Kementerian Perpaduan Negara bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagaimana Nota Kerjasama yang  ditandatangani bersama pada tahun 2022.

Objektif utama projek Kebun Komuniti KRT adalah untuk mempertingkatkan hasil pertanian peringkat komuniti di samping menjana pendapatan bagi memperkasa ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Kini, terdapat 113 projek Kebun Komuniti KRT di seluruh negara. Projek Kebun Komuniti KRT di Kampung Sembulan ini  diusahakan sejak Mac 2022 dengan menggunakan kaedah penanaman secara hidroponik dan polybag fertigasi yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian Sabah.

Antara tanaman utama di projek kebun komuniti ini adalah daun salad, cili, terung, timun dan tomato.

Projek ini juga  merangkul anugerah Johan Kebun Komuniti Pertanian Dalam Bandar Peringkat Daerah Kota Kinabalu Tahun 2022.

Sesi lawatan kerja ini kemudian diteruskan lagi ke Program Komuniti Rahmah Malaysia Madani yang menyasarkan bantuan kepada 100 penerima daripada komuniti B40 daerah Kota Kinabalu.

Matlamat utama penganjuran program ini adalah dalam menyediakan pek RT Cares Rahmah dalam bentuk bantuan asas makanan kepada golongan rentan yang memerlukan demi meningkatkan kesejahteraan komuniti dengan meringankan beban kos sara hidup yang menghimpit mereka.

Siri lawatan kerja diakhiri dengan penyampaian plak bagi program Citarasa Menu KAMI (CMK) di Fook Yuen Cafe. Konsep sajian utama di kafe ini adalah menu tempatan yang digemari oleh pengunjung pelbagai kaum.

Premis ini merupakan penerima plak CMK ke 13 sejak program ini dilancarkan. Tujuan utama program ini diadakan adalah bagi mencungkil tapak integrasi baharu yang dapat menyatupadukan masyarakat majmuk menerusi platform makanan atau tagline “foodunites”.

Kepelbagaian makanan rentas etnik ini merupakan salah satu agen yang dapat membuka ruang untuk rakyat duduk bersama dalam suasana harmoni.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk James Ratib, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato Indera Noridah Abdul Rahim, Setiausaha Bahagian Dasar dan Strategik, Mohamad Sobri Mat Daud, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah, Puan Delin Liet Blaun, Pengarah Jabatan Arkib Negara Negeri Sabah/WP Labuan, Haji Mohd Saleh Haji Alias, Timbalan Pengarah Bahagian Rangkaian dan Perpustakaan Desa, Mohamad Sharizal Omar.

scroll to top