Keperibadian Rasulullah contoh terbaik

JOHAN…Harun (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah Johan kategori Jabatan sebuah piala iringan, piala pusingan berserta wang tunai RM700 dan sijil kepada PDRM Pitas.

PITAS: Keperibadian Nabi Muhammad SAW sangat terpuji dan perjuangannya perlulah kita renungi kembali dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupan Rasulullah sebagai teladan yang terbaik, kata Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Harun Durabi.

Kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah rahmat terbesar dan anugerah teragung sebagai utusan Allah SWT untuk menghentikan segala kerosakan seperti penyembahan berhala, penzinaan, mabuk, berjudi, merompak membunuh dan lain-lain dan membawanya kepada cahaya Ilahi.

KENANGAN..Harun (tiga dari kanan) bersama yang lain mengabadikan gambar kenangan bersama Tokoh Maulidur Rasul Pitas 1444H/2022M Haji Abdul Hamid Ahmad (duduk).

Beliau yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengkoka berkata demikian sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Pitas Tahun 2022 di Dewan SK Pekan Pitas II dekat sini baru-baru ini.

“Sempena sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini marilah kita ambil peluang dan mencontohi Baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga mencapai kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat,” katanya.

Sambutan Maulidul Rasul tahun ini bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

JOHAN KATEGORI SEKOLAH…Harun (kanan) menyampaikan hadiah kepada Johan kategori Sekolah  dimenangi SMK Pitas yang menerima sebuah piala, wang tunai RM700 dan sijil.

Katanya, konsep keluarga Malaysia jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam pembinaan negara khususnya dalam menghadapi situasi yang mencabar.

Tiga teras utama yang digariskan iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dijadikan sebagai nilai dalam konsep Keluarga Malaysia manakala antara pengkayaan nilai dibawah tiga teras ialah menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga dan menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

JOHAN KATEGORI KAMPUNG…Harun (kanan) menyampaikan hadiah berupa piala, wang tunai RM700 dan sijil kepada wakil Masjid Ar Rahman kampung Salimpodon Laut, Johan sepanduk kategori Kampung/Masjid.

Pelbagai acara diadakan dalam majlis itu  antaranya perarakan sepanduk, ceramah agama oleh Ustaz Haji Muhammmad Akmal Osman Pengarah YADIM Negei Sabah dan banyak lagi.

Sementara itu,bagi pertandingan sepanduk, johan kategori Jabatan disandang oleh pasukan PDRM Pitas yang membawa balik wang tunai dan piala iringan, johan kategori sekolah Johan disandang oleh SMK Pitas manakala bagi kategori Kampung/Masjid dimenangi oleh Masjid Ar Rahman Kampung Salimpodon Laut. Johan keseluruhan dimenangi  PDRM Pitas.

Haji Abdul Hamid bin Ahmad dipilih sebagai penerima Tokoh Maulidur Rasul SAW peringkat Daerah Pitas 1444H/ 2022M.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Pitas Marck Hassan Libau, Penolong Pegawai Daerah Pitas Pembangunan 2, Johari Abdullah, Pegawai Tadbir Agama merangkap Setiausaha penganjur Ustaz Kamal Sindong, Ketua Polis Balai Pitas Inspektor Zakariah Suhara, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Bengkoka, Mohd. Lahab Enul Ketua Jabatan Kerajaan dan Pemimpin NGO serta masyarakat setempat.

scroll to top