Kerajaan GRS Hargai Sumbangan Swasta Bekal Bantuan Makanan

BANTUAN: Edward (tengah) ketika mengagihkan bantuan makanan di Tuaran.

Oleh HENRY BATING

TUARAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menghargai sumbangan sektor swasta dalam membantu meringan beban rakyat memperoleh bekalan makanan ketika menghadapi masa sukar semasa pandemik Covid-19.

Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Edward Linggu berkata pihaknya sumbangan sektor swasta amat bererti dalam melengkapi pelbagai usaha kerajaan memenuhi tuntutan golongan terjejas pendapatan.

“Kita melaksanakan program sehabis daya mengikut kemampuan, pada waktu yang sama kalangan penduduk yang memerlukan perlu memahami bahawa bantuan dibekalkan secara berperingkat-peringkat,” kata Edward.

Edward, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli yang kini merupakan Pengarah Strategik Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah menegaskan pihaknya berusaha memperoleh bekalan dari pelbagai sumber.

Edward yang juga Ketua Penyelaras STAR Parlimen Tuaran berkata demikian ketika menyalurkan 500 bantuan makanan kepada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di pejabat parti itu di sini pagi Ahad (25 Julai 2021).

Sumbangan bantuan makanan tersebut dibekalkan Allan Chen dari TRC Management Sdn Bhd.

Hadir menerima 100 bantuan makanan setiap bahagian ialah Ketua-ketua Bahagian STAR yang terdiri dari Jasmin Dulin selaku Ketua Bahagian STAR Tamparuli, David Orok (Sulaman), Dominic Yassun (Kiulu), Alfred Kabaron (Pantai Dalit) dan Kapitan Stephen Teo (Karambunai).

Sebelum ini, bantuan serupa telah disalurkan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Guandee Kohoi kepada bahagian-bahagian STAR di kawasan Parlimen Tuaran dan Sepanggar.

Bantuan tersebut seterusnya diagih-agihkan ketua-ketua bahagian kepada kalangan penerima yang telah dikenal pasti di kawasan masing-masing.

scroll to top