Kerajaan harus liberalisasikan pemasaran getah

LIBERALISASI PEMASARAN GETAH…Kata Tan Sri Simon dalam sidang media bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi USAHA.

KOTA KINABALU: Kerajaan harus meliberalisasikan pemasaran getah agar ada persaingan terbuka dan telus bagi kepentingan dan kebaikan pekebun-pekebun kecil getah, kata mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Simon Sipaun.

“Menurut pemerhatian saya, agensi kerajaan seperti Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) nampaknya mempunyai kedudukan monopoli dalam pembelian getah dari pekebun-pekebun kecil getah. Keadaan ini kurang sihat,” katanya yang juga Penasihat Kehormat Pertubuhan Pekebun-Pekebun Kecil Bersatu Sabah (USAHA).

Tan Sri Simon Sipaun

Di samping itu, katanya, LIGS juga mempunyai kuasa mengawal lesen pembelian dan lesen kilang getah untuk pemilik swasta.

Beliau berkata,sebagai sebuah agensi kerajaan, LIGS hendaklah memfokuskan kepada tanggungjawab utamanya untuk `regulate the trade’ dan bukan terlibat secara langsung dalam perniagaan pembelian dan penjualan getah.

Perniagaan pembelian getah dijalankan oleh kilang-kilang getah swasta agar persaingan pembelian bahan mentah getah memberi pulangan yang lebih baik kepada pekebun-pekebun kecil getah dengan harga yang lebih baik dan berpatutan.

Masalah harga getah tidak berpatutan bagi pekebun pekebun kecil seperti yang diberitahu Presiden USAHA, Chua Men Nam,sudah berterusan selama lebih 20 tahun, kata Tan Sri Simon dalam sidang media di pejabat pertubuhan itu di Jalan Pintas Penampang.

Ini memberikan gambaran monopoli perniagaan hasil getah  dari pekebun-pekebun kecil getah dan merugikan pekebun-pekebun kecil getah.

Menurutnya, perbezaan harga bahan mentah getah yang didapati semasa lawatan rombongan USAHA ke Seremban baru-baru ini menunjukkan bahawa perbezaan yang sangat ketara di antara harga bahan getah di Semenanjung dan Sabah.

Beliau juga menyokong permintaan USAHA agar kerajaan membatalkan cukai eksport 10 peratus supaya pekebun-pekebun kecil getah dapat menjual hasil getah mereka ke kilang SMR di Semenanjung Malaysia.

Tan Sri Simon berharap kerajaan mengambil berat perkara ini untuk kepentingan dan kebaikan ribuan ahli USAHA di seluruh Sabah.

Beliau berharap kerajaan akan mengambil tindakan susulan terhadap syor agar satu panel ditubuhkan untuk menentukan harga getah di Sabah.

“Dengan adanya panel ini maka adalah dijangka pemantauan harga getah akan lebih telus dan berpatutan,” katanya.

scroll to top