Kerajaan iktiraf peranan pengamal media

KENANGAN...Masidi (tengah) bergambar kenangan bersama pemenang.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengiktiraf peranan pengamal media dalam membantu menyebarkan dasar dan pembangunan kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, etika kewartawanan yang baik memainkan peranan yang penting dalam masyarakat.

“Media menjadi jambatan di antara kerajaan dan masyarakat dalam menyebarkan dasar dan pembangunan kerajaan.

“Anda mampu mempengaruhi pemikiran rakyat melalui laporan, mengubah pandangan rakyat, malah mengubah landskap sosial dan politik sesebuah negara.

“Justeru itu, wartawan perlu membuat laporan dengan bijak, bertanggungjawab dan profesional,” ujarnya dalam Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2022 di sini, pada Ahad.

Hajiji juga mengingatkan semua pengamal media untuk terus menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih meski berdepan dengan cabaran arus pemodenan digital masa kini.

“Dengan limpahan maklumat yang berada di hujung jari ketika ini, masyarakat mempunyai tanggungjawab dalam mencari maklumat yang benar.

“Dalam hal ini, pengamal media adalah tiang yang akan menyokong kepada semua rasa tanggungjawab ini dengan berita yang tepat, benar dan cepat,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Anugerah Kewartawanan tahun ini yang bertemakan “Forward in the Digital Age” menerima 270 penyertaan yang melibatkan pelbagai kategori dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.-PENERANGAN.

scroll to top