Kerajaan komited tingkatkan sosioekonomi pasca pandemik Covid-19

Hanifah (kiri) sedang menerangkan sesuatu kepada Tun Juhar.

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan komited meningkatkan sosioekonomi rakyat pasca pandemik Covid-19 khususnya di Sabah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, bagi merealisasikan usaha tersebut, pihaknya mengadakan perbincangan serta kerjasama erat dengan kerajaan negeri.

“Kita perlu mengenal pasti kekangan yang ada agar rangka kerja pembangunan khususnya berkaitan aspek sosioekonomi dapat diperhalusi demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, setelah Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Disember lepas, kerajaan sentiasa mengambil berat pelaksanaan tuntutan yang terkandung dalam perjanjian terbabit.-Penerangan.

scroll to top