Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah diharap turut menguatkuasakan penyambungan moratorium bagi semua rakyat Malaysia di negeri Sabah yang mempunyai hutang atau pinjaman di semua cawangan bank dan juga semua institusi kerajaan negeri.
Ketua Bahagian Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) P176 Kimanis, Seniati Abd Ghani berharap kerajaan menguatkuasakan moratorium itu kepada rakyat yang memiliki hutang kepada agensi kerajaan yang memberikan pinjaman kepada pelanggan mereka khususnya di kalangan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sepanjang tempoh PKPD 3.0.
“Ini selaras dengan kelulusan kerajaan di bawah pentadbiran PN yang bersetuju untuk melaksanakan moratorium bagi peminjam rakyat Malaysia yang terkesan bagi tempoh enam bulan bagi meringankan beban rakyat.
Menurut Seniati, sebelum ini beliau ditemui oleh beberapa orang penduduk Kimanis yang merasa risau kerana mempunyai hutang dengan Perbadanan Pinjaman Sabah.
Namun mereka datang semula dengan perasaan lega, bersyukur dan berterima kasih kerana difahamkan PPS juga melaksanakan moratorium itu.
“Tindakan responsif agensi kerajaan inilah yang akan memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang mempunyai rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap nasib rakyat Sabah.
Beliau berharap agar semua agensi kerajaan yang berkaitan juga mengambil tindakan proaktif seperti itu.