Kerajaan Negeri Sabah Diminta Benarkan Pergerakan Rentas Labuan- Sabah

SIMSUDIN SIDEK

Oleh HENRY BATING

LABUAN: Kerajaan Negeri Sabah diminta memberi pertimbangan wajar untuk memberi kebenaran merentas pergerakan di antara Labuan dan Sabah untuk memulihkan kembali ekonomi yang agak terjejas sebelum ini.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan Simsudin Sidek berkata sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Sabah memberi kebenaran pergerakan rentas antara Sabah dan Labuan berikutan Labuan telah mencapai imuniti kelompok manakala situasi di pulau ini sudah membaik dengan catatan terendah satu kes.

“Kerajaan Negeri Sabah perlu mengambil kira penduduk di Labuan bukan sahaja penduduk asal Sabah, malahan ramai bumiputera Sabah yang menetap di sini kerana bekerja,” katanya.

Menurut Simsudin, tiada sebab kukuh mengapa Kerajaan Negeri Sabah mahu terus mengawal rentas pergerakan di antara Labuan dan Sabah kerana Labuan kini hampir mencapai Zon Hijau berbanding Semenanjung dan Sarawak.

Simsudin merayu agar individu yang sudah lengkap vaksin dua dos dibenarkan merentas untuk berjumpa keluarga setelah sekian lama tidak bertemu dan tentunya dengan mematuhi SOP dan kawalan kendiri.

“Kebenaran merentas juga sangat penting kepada individu yang mempunyai urusan kecemasan, perubatan serta menerima rawatan lanjutan di hospital kerajaan ataupun swasta di Sabah,” katanya.

Simsudin yakin kebenaran tersebut boleh mempermudah urusan tanpa menunggu kebenaran khas yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Simsudin menegaskan, risiko jangkitan dapat diminimumkan apabila setiap individu yang ingin merentas negeri diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 walaupun telah lengkap dua dos vaksin.

Namun demikian, tegasnya bayaran untuk saringan Covid-19 harus juga dikurangkan bagi merungankan bebanan kalangan keluarga yang terjejas berikutan pandemik ini.

scroll to top