Kerajaan Negeri Tiada Halangan Jika NGO Bantu Warga Asing Terjejas

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mempunyai halangan sekiranya ada badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam memberi bantuan kepada warga asing yang terjejas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pada dasarnya kerajaan negeri hanya memberikan bantuan kepada rakyat yang berstatus warganegara sahaja.

“Namun, sekiranya ada badan-badan NGO dan orang awam memberi bantuan kepada warga asing berkenaan pihak kerajaan negeri tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Terdahulu beliau merujuk kepada  laporan berita bertajuk ‘Semakin Ramai PTI Turut Pasang Bendera Putih’ terbitan sebuah akhbar tempatan bertarikh 15 Julai 2021.

Menurutnya, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah mengambil tindakan dengan menghubungi tujuh keluarga di kawasan setinggan Bukit Bantayan Kiansom, Inanam berhubung pemasangan bendera putih yang memohon bantuan makanan daripada orang ramai.

Beliau berkata, pihak JIM Sabah telah melakukan pemantauan di kawasan yang dimaksudkan mendapati masih terdapat sejumlah tujuh bendera berwarna putih yang diikat bersama papan dan keratan kotak tertera nombor telefon serta nama yang isi kandungan tulisan pada papan dan kotak itu berupa memohon bantuan makanan daripada orang ramai.

“Tindakan telah diambil dengan menghubungi nombor telefon yang berkenaan, mendapati pemilik nombor telefon itu terdiri tujuh keluarga dari kalangan wanita warganegara Filipina berusia dalam lingkungan 50 tahun dianggarkan seramai enam hingga sembilan orang serta kanak-kanak berumur lingkungan satu tahun dalam setiap rumah yang disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah menetap di kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, siasatan melalui perbualan telefon ini juga mendapati mereka tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi berikutan sumber pendapatan adalah bergantung sepenuhnya dengan suami yang kini berada di daerah Kota Belud, difahamkan bekerja.

“Sekatan perjalanan antara daerah dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini menyebabkan halangan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sekaligus menyebabkan berlakunya keadaan sedemikian,” katanya.

scroll to top