Kerajaan pantau program kerja kontraktor Pan Borneo – Limus

LIMUS JURY

KOTA KINABALU:   Kerajaan sentiasa memantau program kerja kontraktor bagi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo siap pada masa yang ditetapkan.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata selain pemantauan, struktur pentadbiran kontrak juga melibatkan kerjasama erat di antara agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk untuk melancarkan perjalanan pembinaan serta menyelesaikan hal-hal berbangkit yang mengganggu pelaksanaan projek.

“Bagi memastikan setiap pakej dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan, kerajaan sentiasa memantau dan memastikan pembinaan dilaksanakan mengikut program kerja kontraktor yang telah diluluskan,” katanya di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Khamis.

Menjawab soalan dikemukakan Adun Dilantik, Dr. Aliakbar Gulasan dalam sesi pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan lisan itu, Limus menjelaskan, pelaksanaan Projek Pan Borneo Fasa 1 melibatkan 35 pakej kerja yang mana setiap pakej mempunyai pelaksanaan kontrak yang berasingan.

Oleh yang demikian, ujarnya, tempoh masa siap keseluruhan projek lebuh raya itu bergantung kepada penyiapan setiap pakej kerja.

Sementara itu, menjawab soalan Adun Sulabayan, Datuk Dr. Haji Jaujan Sambakong yang bertanyakan perancangan kerajaan untuk memasang lampu jalan di Pulau Bum-Bum Semporna, Limus mendedahkan, sebanyak 26 kampung terlibat dengan pemasangan Program Lampu Jalan Kampung (LJK) sejak 2001 hingga kini.

“Program LJK yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan ini memberi tumpuan kepada pemasangan lampu di lokasi strategik di kampung-kampung agar dapat menceriakan kawasan kampung supaya kegiatan ekonomi, sosial dan riadah dapat dijalankan pada waktu malam dengan selesa dan selamat,” katanya.

Permohonan Program LJK juga boleh dibuat melalui Pejabat Daerah Semporna dan dimajukan kepada SESB dan seterusnya dipanjangkan kepada KPLB Persekutuan untuk pertimbangan dan kelulusan.-PENERANGAN.

scroll to top