Kerajaan Pusat Diminta Beri Penekanan Peruntukan Infrastruktur Di Sabah

BINCANG..Bung (dua dari kiri) yang disertai oleh Mohd Jasmin dan Edward ketika mengadakan perbincangan bersama Ramlan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Putrajaya

Oleh YUSOP TEPPO

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat diminta beri penekanan soal pembangunan infrastuktur di Sabah yang melibatkan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, jalan raya dan elektrik agar negeri di bawah bayu dapat membangun seiring dengan negeri-negeri lain.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata Kerajaan Pusat sewajarnya memberikan peruntukan yang lebih besar berbanding sebelumnya kepada Sabah dengan mengambil kira faktor geografi negeri tersebut.

Bung berkata pembangunan yang didepani oleh rakyat di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar membabitkan insfrastruktur asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik agak kritikal dimana pembangunan itu sangat penting yang memerlukan peruntukan yang agak besar untuk dilaksanakan.

“Isu bekalan air bersih, jalanraya dan elektrik merupakan keperluan utama rakyat Sabah, ianya memerlukan kos peruntukan yang besar yang tidak mampu disediakan oleh kerajaan negeri sebagai contoh untuk membaiki dan menaik taraf bekalan air bersih sahaja kita memerlukan sekitar RM27 bilion untuk memulihkan kerosakan pada loji air di seluruh Sabah” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Dato Ramlan Harun di pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata sudah tentu kerajaan negeri mengharapkan bantuan dari kerajaan pusat khususnya KPLB untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan ke negeri ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963(MA63).

Beliau menjelaskan peruntukan yang lebih besar perlu difokuskan juga kepada isu kemudahan air terawat, kerana isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi isu yang agak kritikal ketika ini selain kemudahan sistem perhubungan jalanraya.

Semasa perjumpaan tersebut, Bung juga Ahli Parlimen Kinabatangan diiringi oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Mohd Jasmin Juplin dan Pengarah Jabatan Air Sabah Edward Lingkapo turut mengemukakan beberapa cadangan dan permohonan kepada (KPLB) terutamanya untuk kemudahan bekalan air bersih dan jalanraya di Sabah.

” Dengan pertemuan ini, kita berharap banyak masalah dapat di atasi berhubung pelaksanaan projek luar bandar di Sabah terutama pelaksanaan bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar secara beperingkat-peringkat mengikut keutamaan ,” katanya.

scroll to top