Kes COVID-19 Di Sabah Melonjak Empat Angka

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Kes baharu COVID-19 di Sabah melonjak naik empat angka hari ini iaitu sebanyak 1,066 kes yang mana saringan kontak rapat penyumbang paling tinggi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini menunjukkan peningkatan sebanyak 290 kes berbanding 776 kes yang dicatatkan semalam (29 Julai 2021).

“Sarıngan kontak rapat masih lagi penyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 640 kes atau 60.04% daripada kumulatif kes COVID-19 hari ini di mana daerah Kota Kinabalu mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 125 kes.

“Saringan bergejala mencatatkan sejumlah 157 kes atau 14.73% daripada kumulatif harian negeri Sabah manakala saringan kluster merekodkan 157 kes atau 14.73%, dan sarıngan bersasar merekodkan 51 kes atau 4.78%,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu katanya, seramai 545 pesakit sembuh dan discaj dari hospital.

Masidi berkata, enam kes kematian dilaporkan iaitu tiga kes di Beaufort manakala satu kes masing-masing di Sandakan, Kudat dan Penampang.

Terdapat dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Batu 2, Tawau dan Kluster Gunsapau – Ranau, Kota Marudu.

“Sejumlah 77.86% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1 iaitu 345 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 485 kes sekadar mengalami simptom ringan (mild).

“Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.

Jelasnya, Kluster Batu 2, Tawau melibatkan perebakan jangkitan COVID-19 di tempat kerja iaitu kedai roti.

Masidi berkata, kes indeks merupakan lelaki, 58, dari Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan tidak bekerja telah disahkan positif hasil saringan bergejala di hospital swasta pada 17 Julai 2021.

“Saringan kontak rapat mendapati tiga rakan serumah positif, salah satu daripadanya adalah anak kepada kes indeks yang bekerja di kedai roti terbabit.

“Saringan tempat kerja pula mengesan lapan pekerja positif COVID-19. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Setakat hari ini, daripada 66 kontak yang telah disaring, kluster ini merekodkan 27 kes positif termasuk 10 kes baharu. Manakala tiga sampel didapati negatif dan 36 sampel lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Bagi Kluster Gunsapau – Ranau, Kota Marudu dikategorikan sebagai kluster komuniti. Penularan jangkitan COVID-19 kluster ini melibatkan kontak sosial di Kg Tagibang dalam daerah Kota Marudu.

“Kes indeks merupakan wanita, 24, disahkan posiitf COVID-19 (RTK-Ag) pada 21 Julai 2021, diikuti empat kontak positif RTK-Ag pada 22 Julai 2021 melalui saringan bergejala.

“Turut dikesan positif, kontak serumah kes indeks di Kg. Pugi Gunsapau, Kg. Nawanon dan Kg. Tagibang di Kota Marudu pada 24 dan 27 Julai 2021. Dalam tempoh itu, 164 sampel telah disaring dan mengesan 64 kes positif termasuk enam kes baharu manakala 100 sampel lagi didapati negatif,” katanya.

scroll to top