TUARAN: Kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan vaksin Covid-19 kini semakin meningkat, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim.
Menurut beliau, situasi tersebut menampakkan perkembangan yang positif dalam usaha kerajaan memberikan vaksin kepada semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar.
“Sebelum ini, kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai Program Imunisasi Covid-19 masih kurang disebabkan dengan pelbagai persepsi serta berita-berita yang tidak benar tentang suntikan vaksin.
“Namun, dengan usaha dan gerakan program yang dijalankan di semua peringkat khususnya kawasan luar bandar, penerimaan masyarakat untuk mendapatkan vaksin didapati semakin positif dan meningkat,” ujar Jahid semasa ditemui media pada Program Outreach CITF Daerah Tuaran, di Dewan Kg Bunga Tenghilan, Tamparuli kelmarin.
Menurutnya, sasaran bagi program yang berlangsung selama dua hari itu ialah seramai 1,900 orang didaftar untuk menerima suntikan vaksin dos pertama yang melibatkan 52 kampung.
Tambah Jahid, hingga kini daerah itu merekodkan pencapaian 12.8 peratus lengkap dua dos berdasarkan jumlah penduduk berumur 18 tahun ke atas dan yang telah mendaftar di MySejahtera sebanyak 54 peratus daripada 84,200 populasi penduduk.
Jahid turut memberitahu, program-program seumpama akan diteruskan agar sasaran rakyat mendapatkan vaksin terus meningkat serta tiada yang tercicir menerima suntikan.
Hadir bersama pada program berkenaan ialah Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain, Pegawai Kesihatan Kawasan Tuaran, Dr Noraziah Bakri, Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Hamizi Halim dan Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin.– Penerangan.