Kesedaran mengenai penuaan perlu diterap dari awal

POTONG KEK ... Shahelmey memotong kek sempena Majlis Makan Malam Selingkar Kasih Atok Nenek sambil disaksikan Jais, Haji MY Ibrahim, Hajah Mariah, Hajah Dyg Rugayah dan kenamaan lain.

KOTA KINABALU: Kesedaran mengenai penuaan perlulah diterapkan daripada peringkat awal sebagai persediaan menghadapi usia tua dari pelbagai segi seperti emosi, kewangan, kesihatan dan macam-macam lagi, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Katanya, program-program intergenerasi juga perlu diberi fokus agar kita dapat membina golongan anak muda yang hormat, sayang, prihatin dan bertanggungjawab terhadap golongan warga emas.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Selingkar Kasih Atok Nenek anjuran Jawatankuasa Pelaksana PAWE Peringkat Negeri Sabah di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri .

Shahelmey menggesa PAWE agar meningkatkan fungsinya dengan menjadi pusat komuniti setempat yang dapat memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat dan menggalakkan interaksi di antara golongan warga emas dengan golongan muda.

Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, semua pihak perlu memainkan peranan dan memberi sokongan yang efektif kepada golongan warga emas demi kesejahteraan semua pihak, katanya.

Hari Warga Emas disambut pada 1 Oktober setiap tahun untuk memberi pengiktirafan kepada golongan warga emas.

Malaysia diunjurkan  menjadi Negara Warga Emas menjelang tahun 2030 apabila lebih 15 peratus daripada penduduknya berumur 60 tahun ke atas.

Selaras dengan keperluan semasa dan akan datang, Dasar Warga Emas Negara  dibuat iaitu mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara, katanya.

Menyedari kepentingan mengekalkan warga emas untuk produktif, berdaya saing dan sejahtera, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.

Antaranya ialah memperluaskan penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi memberi ruang dan peluang kepada warga emas untuk melakukan aktiviti dan terus berada dalam komuniti, memberi bantuan kepada warga emas yang layak dan banyak lagi.

Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat juga ada menyediakan beberapa rumah warga tua seperi Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan, Rumah Warga Tua Air Panas Tawau, Rumah Warga Tua Sri Prichard Kinarut dan yang terbaru masih dalam proses pembinaan iaitu Rumah warga emas berbayar di Inanam. Ini bagi tujuan untuk memberi penjagaan dan perlindungan kepada golongan warga emas agar tidak hidup terbiar.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Perkhidmatan Am Negeri Sabah, Jais Asri, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Haji MY Ibrahim, Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Hajah Dayang Rugayah Haji Ag Besar, Pengerusi Pelaksana, Hajah Mariah Haji Takin yang juga Pengerusi PAWE Sepanggar, dan pengerusi-Pengerusi PAWE seluruh Sabah dan kira-kira 500 warga emas di sekitar ibu negeri.

scroll to top