KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor dijangka hadir Sambutan Tahun Baru Cina STAR Sabah 2023 sebagai tetamu kehormat di Wisma Kinsabina, Nosoob Baru Penampang 5 Feb ini.
Pemangku Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Kapitan Stephen Teo berkata Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan selaku tuan rumah akan meraikan kira-kira seribu jemputan termasuk wakil parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Sambutan Tahun Baru Cina STAR kita adakan sebagai satu solidariti masyarakat Cina dalam parti bagi mendukung kerajaan mewujudkan kestabilan politik, keharmonian kaum dan mencapai kemakmuran ekonomi,” katanya.
Stephen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat Tionghua STAR Sabah memaklumkan pelbagai pengisian sambutan telah diatur yang dipengerusikan Datuk Francis Goh selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan Masyarakat Tionghua STAR.
Menurut sambutan yang berlangsung jam 10.00 pagi – 2.00 petang itu akan dihadiri para pemimpin STAR dari pelbagai kawasan di seluruh Sabah dan kalangan tetamu rasmi serta masyarakat berdekatan.