Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN
SANDAKAN: Bidang keusahawanan mampu menjadi alternatif terbaik bagi rakyat untuk mengurangi bebanan kos sara hidup dalam menghadapi masalah ekonomi yang kini melanda dunia, kata Pengerusi Persatuan Usahawan Sandakan (PUS) , Noraini Sulong.
Beliau berkata, keusahawanan hanya dilihat sebelah mata dan menjadi pilihan terakhir dalam sektor pekerjaan, kini ia menjadi pilihan utama untuk sumber pendapatan rakyat ketika berhadapan kekangan dalam era pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, Noraini menasihatkan golongan usahawan agar lebih bijak mencari peluang perniagaan mereka khususnya berteraskan teknologi dan aplikasi kesihatan, penyediaan makanan, penghantaran makanan dan barangan, pendidikan dalam talian dan banyak lagi bidang yang boleh diterokai.
Katanya, sepanjang tempoh PKP tentunya usahawan boleh mengkaji semula bentuk perniagaan yang mampu memberi imapk positif sebaik saja wabak Covid-19 berakhir.
Menurutnya, kerjaya keusahawanan sudah terbukti mampu meningkatkan taraf hidup individu dan masyarakat selain menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
Fakta menunjukkan bahawa usahawan yang mengusahakan premis makanan, penyediaan makanan, pertanian, penternakan,pelancongan dan sebagainya dapat menampung keperluan asas kehidupan mereka walaupun berdepan cabaran getir dalam era pandemik ini.
Beliau juga, usahawan merebut peluang yang disediakan kerajaan melalui pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) membabitkan nilai RM35 bilion bagi memastikan kesejahteraan ekonomi Malaysia.
Katanya, kerajaan sangat mengambil berat bidang keusahawanan khususnya perusahaan kecil dan sederhana.
Malah lebih menarik apabila sebanyak RM50 juta dikhususkan kepada usahawan wanita dan memberi peluang keemasan khususnya suri rumah yang ingin memulakan perniagaan dari rumah untuk membantu kewangan keluarga.
Sementara itu, sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, Noraini yang juga Pengerusi Koperasi Usahawan Sandakan Berhad menggesa golongan usahawan menghayati makna tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin.

USAHAWAN…Noraini (kiri) bersama usahawan dari Persatuan Usahawan Sandakan.
Katanya, tema Malaysia Prihatin adalah sangat tepat bukan saja dalam menyemai semangat patriotisme tetapi mampu menyemarakkan semangat kebersamaan di kalangan rakyat yang masih berdepan pandemik Covid-19.
Beliau berharap golongan usahawan sentiasa memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan dalam memacu ekonomi negara.
Noraini juga memuji usahawan yang sentiasa gigih berjuang mengeluarkan produk mereka untuk dipasarkan meskipun berdepan pelbagai cabaran.