Khidmat perunding untuk kenalpasti jumlah jambatan diperlukan

TURUN PADANG ... Bung Moktar ketika meninjau lokasi kemalangan yang meragut tiga nyawa di Jalan Lintas, di sini.

KOTA KINABALU: Satu agensi juru perunding perlu dilantik bagi membantu mengenalpasti jumlah jambatan diperlukan di seluruh negeri ini.

Ia sebagai usaha untuk menyelesaikan keperluan jalan penghubung itu bagi memudahkan murid-murid ke sekolah terutama di kawasan pedalaman.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, umumnya terdapat banyak jambatan di seluruh negeri dan ia dikendali oleh pelbagai pihak atau agensi.

“Apabila sebut soal jambatan ini, ada beribu jambatan di negeri ini, saya pun belum tahu berapa banyak sebab ada jambatan kampung, jambatan sementara dan jambatan ini banyak pemiliknya.

“Ada di bawah seliaan majlis daerah, pejabat daerah malah agensi-agensi kerajaan pun ada tetapi malang sekali apabila sebut jambatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi kemalangan yang meragut tiga nyawa di Jalan Lintas, di sini.

Ia bagi menjawab persoalan kebelakangan ini yang tular berhubung situasi murid sekolah yang didakwa terpaksa menyeberang sungai dengan pelbagai cara tanpa ada kemudahan jambatan untuk digunakan.

Bung berkata, perkara berkenaan perlu diselesaikan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak dan memerlukan  perbincangan bersama.

“Saya melihat perkara ini perlu kita selesaikan dan saya akan menunggu Ketua Menteri dan saya ada perancangan untuk kita melantik satu juru perunding untuk menilai berapa jumlah jambatan yang ada dan diperlukan termasuk jambatan-jambatan kampung.

“Saya juga mengajak semua pegawai-pegawai daerah memerhati kawasan pentabiran masing-masing dan membuat laporan kepada Menteri Luar Bandar dan salinan kepada kita untuk sama-sama kita bincangkan untuk membuat satu kolaborasi atau strategi lautan biru bagi menanggani isu-isu yang berlaku ini,” tegasnya.

scroll to top