PAPAR: Meski berdepan pandemik Covid-19, sekurang-kurangnya kibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing.
Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin membuat seruan tersebut sempena bulan kebangsaan yang disambut sepanjang Ogos ini.
“Walaupun tiada sambutan secara besar-besaran seperti kebiasaannya, kita menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing sekurang-kurangnya,” katanya.
Namun dalam konteks yang lebih luas, ujar beliau, kibaran Jalur Gemilang diharap dapat mengukuhkan lagi semangat patriotisme terhadap negara dan negeri Sabah dalam kalangan rakyat.
“Bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, kecintaan terhadap negara ini perlu dizahirkan dengan cara membantu kerajaan menjayakan program-program seperti vaksinasi Covid-19,” tambahnya.
Mohamad bercakap kepada media selepas menyempurnakan simbolik Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Papar di Kg Ulu Kimanis Batu 14, pada Jumaat.
Pada majlis itu, Mohamad yang menyampaikan Jalur Gemilang kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Kinolosodon, Kg Batu 14, Kg Penampang Baru dan Kg Dingin.-Penerangan.