Kibar Jalur Gemilang sempena bulan kebangsaan

SIMBOLIK ... Limus menyerahkan Batton KMKM Negeri Sabah kepada Nadzerah selaku Ketua Konvoi KMKM sebagai simbolik pertukaran lawatan daerah ke daerah Beaufort.

KUALA PENYU:  Semua lapisan masyarakat digesa mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kebangsaan.

Menurut Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury, usaha menggelorakan semangat patriotisme bukan hanya terletak pada bahu agensi kerajaan tetapi masyarakat juga harus mengambil peranan yang sama.

“Mengibarkan Jalur Gemilang ini mampu menzahirkan rasa cinta dan terima kasih kita terhadap kemakmuran dan keamanan yang telah kita kecapi selama ini.

“Setiap individu berperanan untuk mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya pada sambutan bulan kebangsaan yang disambut sepanjang bulan Ogos hingga September,” jelas beliau ketika berucap merasmikan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 di Pekarangan Pejabat Daerah Kuala Penyu, baru-baru ini.

PELEPASAN … Limus membuat pelepasan kepada Konvoi KMKM yang akan meneruskan perjalanan ke daerah Beaufort.

Pada majlis tersebut, Limus yang juga ADUN Kuala Penyu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Penerangan atas usaha gigih dalam mengelorakan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah saban tahun.

Tambah beliau, usaha murni itu harus diteruskan bagi menyemarakkan rasa cinta kepada negara terutama kepada generasi muda.

Hadir sama Pegawai Daerah Kuala Penyu, Sebastian Ingkim, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu, John Genchit dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbuk, Abd Karim Zahari.-PENERANGAN.

scroll to top