Kimanis Sasar Vaksinasi 35 Peratus Hujung Ogos Ini

TINJAU...Hadzlan (dia dari kanan) dan Yusof (kiri)  mengiringi Mohamad membuat tinjauan operasi pemberian vaksin di SJK (C) Cheng Ming, pada Jumaat. 

PAPAR :   Parlimen Kimanis menyasarkan kadar vaksinasi 35 peratus sehingga hujung Ogos ini.

Menurut Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, sasaran itu melibatkan jumlah penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut.

MOHAMAD

“Anggaran vaksinasi setakat ini, amat rendah sekitar iaitu 20 peratus bagi kawasan Parlimen Kimanis.

“Oleh itu, kita menggesa agar program outreach ini diperbanyakkan lagi terutama di kawasan-kawasan yang jauh.

“Namun, kita yakin akan mencapai sasaran 35 peratus vaksinasi sehingga akhir Ogos ini bagi kedua-dua DUN iaitu Bongawan dan Membakut,” dedah beliau.

Alamin ditemui media selepas membuat tinjauan operasi pendaftaran dan pemberian vaksinasi menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Badan Bertindak Imunisasi Covif-19 (CITF) Daerah Papar di SJK (C) Cheng Ming dekat sini, pada Jumaat.

Program jangkauan itu juga dirangka khas bagi vaksinasi kepada empat buah kampung terdiri daripada Kg Kinolosodon, Batu 14, Kg Penampang Baru dan Kg Daingin.

Antara yang mengiringi beliau ialah Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee dan Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan), Jainuddin Jumat, PPM Bongawan, Yusof Minin dan Pegawai Penerangan Daerah, Sam Mansibu.

Mengulas lanjut mengenai program jangkauan tersebut, beliau berpuas hati dan berharap program CITF itu akan diperbanyakkan lagi khususnya di kawasan yang terpencil bagi menjayakan hasrat kerajaan mencapai imuniti kelompok.

“Program outreach ini adalah alternatif untuk memberi peluang dan memudahkan rakyat mendapatkan vaksin Covid-19.

“Oleh kerana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) agak jauh, jadi jika kita minta mereka datang, ia akan sedikit menyusahkan mereka.

“Justeru itu, kita permudahkan supaya mereka boleh datang dengan cepat dan ini akan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dan usaha ke arah mencapai imuniti kelompok akan dapat direalisasikan,” ujarnya.

Tambah beliau setakat jam 11 pagi, lebih 500 orang penduduk telah diberikan dos pertama vaksin jenis Sinovac iaitu 50 peratus daripada jumlah vaksin yang disediakan pada program berkenaan.-Penerangan.

scroll to top