Kluster Kota Klias Libatkan Penularan Jangkitan Dalam Komuniti

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kluster baharu iaitu Kluster Kota Klias, Beaufort melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang majoritinya adalah keluarga dan pelanggan teksi sapu di beberapa lokaliti sekitar Mukim Kota Klias.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster ini dikesan apabila kes indeks iaitu pengusaha teksi sapu, lelaki, 69, disahkan positif ujian RTK-Ag (grading 100%) di Hospital Beaufort pada 3 Julai 2021 dalam saringan kemasukan wad.

“Kes juga mula mengalami gejala demam dan batuk sejak 1 Julai 2021. Daripada 71 kontak yang disaring, kluster ini merekodkan kadar positif sebanyak 60.5 % dengan jumlah kumulatif 44 kes termasuk empat kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Sementara itu, Sabah mencatatkan sebanyak 370 kes positif baharu COVID-19 dan dua kematian yang dilaporkan masing-masing satu kes di Keningau dan Semporna.

Daripada jumlah kes baharu itu katanya, 148 kes adalah daripada saringan kontak rapat, 115 kes adalah saringan kluster, 21 kes saringan bergejala, 36 kes saringan bersasar dan 50 kes adalah daripada saringan Lain-lain kes.

“Manakala seramai 230 pesakit COVID-19 discaj dari hospital/sembuh menjadikan jumlah kumulatif 70,413 orang. Seramai 2,226 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 417 orang di hospital, 1,709 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 100 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)/penjara.

“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 53 orang dan 12 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya.

Dalam pada itu, Daerah Tambunan berubah dari zon kuning ke zon hijau, Kunak berubah dari zon jingga ke zon kuning, Semporna dari zon merah ke zon jingga, Telupid dari zon hijau ke zon kuning manakala Sipitang berubah dari zon jingga ke zon merah.

scroll to top