Kluster Nahaba 2 berpunca majlis pengebumian

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan satu kluster baharu iaitu Kluster Nahaba 2, Kota Belud melibatkan jangkitan dalam komuniti yang disyaki berpunca daripada majlis pengebumian di Kg Nahaba pada 11 Jun 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes indeks adalah lelaki, 57, yang bergejala demam sejak 14 Jun 2021 sebelum disahkan positif COVID-19 di Hospital Kota Belud pada 20 Jun 2021.

“Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 136 individu terdiri daripada ahli keluarga serta kontak rapat mendapati 26 lagi kes positif. Ia termasuk sembilan kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah 27 kes,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Katanya, semua kes positif telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Kota Belud, Hospital Queen Elizabeth dan PKRC Kota Belud. Dalam pada itu, semua kontak rapat juga telah diarahkan kuarantin untuk pengasingan.

Sementara itu, Sabah mencatatkan penurunan 10 kes iaitu daripada 242 kes kelmarin kepada 232 kes, dan lima kematian hari ini.

Masidi berkata, dua kes kes kematian direkodkan di Kota Kinabalu dan tiga kes lagi di Kudat.

Sementara itu katanya, daripada 232 kes jangkitan baharu itu, 131 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 29 kes saringan kluster, 16 kes saringan bergejala, 24 kes saringan bersasar dan 32 kes adalah daripada lain-lain kes.

Manakala seramai 188 pesakit COVID-19 discaj dari hospital/sembuh menjadikan jumlah kumulatif 67,444 orang.

“Seramai 1,528 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 405 orang di hospital, 1008 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 115 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)/Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 68 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya.

scroll to top