Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Satu lagi kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Pekan Ranau melibatkan jangkitan disyaki bermula di sebuah klinik swasta sebelum menular kepada para pelanggannya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster tempat kerja ini dikesan oleh klinik berkenaan melalui saringan bergejala apabila dua orang staf yang disahkan positif COVID-19 pada 10 Julai, sekaligus menjadi kes indeks.
“Saringan terhadap 246 kontak seterusnya mendapati 13 lagi kes terbitan masing-masing enam kes pada 13 Julai, dua kes pada 14 Julai dan lima kes pada 15 Julai.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes termasuk lima kes baharu hari ini. Manakala, tujuh kes masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Sementara itu, Sabah mencatatkan sebanyak 326 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,832 kes dan 345 pesakit COVID-19 discaj dari hospital/sembuh menjadikan jumlah kumulatif 70,758 orang.
“Tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Kalabakan dan Semporna,” katanya.