Kolaborasi JBPM, Komuniti Mampu Cegah Bencana

Noor Azman (kanan) merasmikan Fire Point Kg Terian.

PENAMPANG: Kolaborasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan komuniti setempat mampu mencegah bencana di peringkat awal.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib berkata, komuniti di tempat kejadian boleh melakukan penyelamatan sekiranya berlaku kemalangan atau musibah.

“Ilmu yang diturunkan ke peringkat komuniti bertindak sebagai langkah pertama menyelamatkan keadaan.

“Di sini, terdapat 10 individu yang telah diberi tunjuk ajar kemahiran penyelamatan sementara menunggu pihak JBPM tiba,” katanya ketika ditemui media sempena program Khidmat Bakti Bomba Dan Kempen Keselamatan Kebakaran di Kampung Terian pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata latih amal kepada suri rumah melalui ceramah Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI) membolehkan tindak balas cepat sekiranya terjadi kebakaran.

“SURI memberi fokus kepada isi rumah kerana dapur berisiko menjadi punca kebakaran semasa memasak di samping penggunaan gas dan peralatan elektrik.

“Kita juga dalam perancangan mengadakan kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional untuk mewujudkan Bomba Komuniti Kumpulan Rukun Tetangga (BKRT) yang dianggarkan mempunyai 8000 ahli seluruh negara,” ujar beliau.

Menurutnya, BKRT kelak dapat memberi bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan di 2,800 hotspot dan blindspot yang telah dikenalpasti.

Program tiga hari itu disertai 21 agensi seperti Petronas, Pengakap Negeri, MyFund Action, Bernas, syarikat-syarikat swasta dan NGO yang bekerjasama membina Fire Point, pembaikan astaka, tandas awam, baik pulih jalan masuk kampung dan kediaman anak angkat JBPM.

Turut hadir,  Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk M Noor Azman Taib,  Pengarah JBPM Sabah, PKPjB Abdul Razak Muda, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Nadzerah Abdullah serta Pegawai Daerah, Francis Chong Yu Shing.-PENERANGAN

scroll to top