Oleh MARIAYATI MURSIDI
BELURAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengajak supaya semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang agama agar bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah mahupun di premis masing-masing sebagai usaha untuk menyemarakan lagi semangat cintakan negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Jamaluddin Mohd Ali berkata, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian, masyarakat perlu kibarkan Jalur Gemilang sebagai menghargai perjuangan dan solidariti kita kepada perajurit-perajurit negara yang telah berkorban jiwa dan raga semata-mata untuk membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah.
Beliau berkata, tanpa pengorbanan dan perjuangan perajurit-perajurit terdahulu, sudah tentu kita tidak akan dapat menikmati hidup aman damai seperti yang kita kecapi pada hari ini.
“Kita telah mengecapi nikmat keamanan dan keharmonian pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan kita yang lalu.
“Kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanpa penghargaan dan terima kasih kita kepada jasa dan pengorbanan mereka (perajurit-perajurit) disamping menunjukkan semangat taat setia dan patriotisme kita yang tidak berbelah kepada negara kita yang tercinta ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, di sini hari ini.
Beliau berkata, semangat ini perlu dizahirkan sebagai tanda sokongan rakyat kepada kepimpinan negara dan barisan hadapan yang sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa.
“Kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, perlu bersatu padu dan bersama-sama dengan barisan kepimpinan negara memerangi pandemik ini dengan menterjemahkan solidariti kita dengan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, sentiasa menjaga jarak, menjaga kebersihan diri, memakai alat pelitup muka dan jangan mengunjungi tempat-tempat sesak.
“Kejayaan negara dalam memerangi wabak COVID-19 ini, banyak bergantung kepada sokongan dan kerjasama rakyat secara keseluruhannya.
“Tanpa sokongan dan kerjasama padu rakyat secara menyeluruh amatlah sukar bagi pihak kerajaan khasnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan usaha untuk memerangi wabak ini,” katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata, ESSCom dengan kerjasama Batalion 20, Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran telah mengambil inisiatif untuk melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di peringkat Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP), Sapi Nangoh.
Dalam program berkenaan, beliau mengedarkan bendera tangan kepada kenderaan yang lalu di kawasan berkenaan.