Oleh HENRY BATING
LABUAN: Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Islamic Tourism Cenre (ITC) telah mengadakan program Konvensyen Pendidikan Tinggi Islam (Muallaf) di Malaysia bermula 24 – 28 Ogos 2021 secara dalam talian.
Pengarah IPDAS Tuan Haji Mohamad Zamri Mohamed Shapik berkata konvensyen diadakan sebagai medan pertemuan rasmi untuk bertukar buah fikiran dan pengalaman di antara pakar-pakar akademik khusus dalam bidang dakwah dan pendidikan Muallaf di Malaysia.
“Konvensyen ini juga bertujuan untuk memantapkan halatuju pendidikan dan menyediakan resolusi bagi merencana strategi serta tindakan untuk pendidikan Islam Muallaf di Malaysia,” katanya.
Lebih 200 peserta konvensyen tersebut yang terdiri dari wakil-wakil Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri, Institusi Pengajian Tinggi tempatan dan antarabangsa, agensi kerajaan negeri serta persekutuan.
Turut serta dalam program lima hari itu ialah Pengerusi Persatuan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam.
Konvensyen tersebut menggunakan aplikasi Zoom sebagai platform dan siaran secara langsung turut disiarkan di halaman Facebook rasmi IPDAS.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Abdul Aziz Jusoh ketika merasmikan konvensyen tersebut berkata pihaknya amat memahami bahawasanya bidang kuasa pengurusan Muallaf adalah di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri yang diketuai oleh Sultan dan Raja-Raja Melayu.
Jelasnya, JAKIM selaku badan penyelaras yang melaksanakan program-program pembangunan ummah dan penghayatan Islam sentiasa bersedia bertanggungjawab untuk menyelaras usaha memperkasa pendidikan kepada para Muallaf sehingga ke peringkat pendidikan tinggi.
“Sebagai kesinambungan kepada sistem pendidikan Muallaf yang sedia ada, JAKIM telah menawarkan pengajian secara formal yang khusus kepada para Muallaf melalui IPDAS,” katanya.
Antara kursus yang ditawarkan ialah program Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia (SAPIM), Sijil Pengajian Islam (SPI) dan Diploma Dakwah Islamiyyah (DDI).
Selain itu, terdapat juga institusi lain yang menawarkan pengajian kepada para Muallaf seperti Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kota Bharu, Kelantan.
Pada waktu yang sama, JAKIM turut membuka ruang kepada para Muallaf yang berpotensi untuk menghafaz al-Quran di Darul Quran JAKIM.
Menurutnya lagi, Inisiatif IPDAS menganjurkan konvensyen ini amat besar maknanya bagi mendapatkan input dan maklumat yang tepat mengenai pendidikan tinggi Islam untuk para Muallaf.
“Saya mengharapkan agar konvensyen ini menjadi kesempatan terbaik untuk kita merangka halu tuju pendidikan tinggi Islam khususnya kepada para Muallaf,” katanya.
Langkah tersebut, katanya adalah seiring dengan tema Tahun Baharu Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’ yang mana diharapkan para Muallaf dapat berpegang teguh dengan ajaran Islam dan meletakkan nilai ‘Rabbani’ iaitu menjadikan Allah SWT sebagai matlamat kehidupan dalam mendepani apa jua keadaan khususnya dalam suasana yang amat mencabar pada masa kini.
Konvensyen ini akan berakhir pada 28 Ogos 2021 dengan pembentangan resolusi daripada Zamri dan perasmian penutupan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee.