Konvoi KMKM platfom pupuk semangat patriotisme

Isnin ketika membuat pelepasan kepada kenderaan Konvoi KMKM 2022 di perkarangan Pejabat Daerah Beaufort.

BEAUFORT: Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 merupakan platform terbaik bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata menerusi program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu, usaha dipamer peserta konvoi secara tidak langsung akan memberi semangat kepada masyarakat pelbagai kaum untuk turut serta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

“Usaha mengibarkan Jalur Gemilang ini bukan hanya terhad pada sambutan bulan kebangsaan malah ia seharusnya dikibarkan pada setiap masa,” jelas beliau kepada media dalam Program Sambutan Konvoi KMKM 2022 Peringkat Daerah di perkarangan Pejabat Daerah Beaufort, pada Rabu.

Tambah beliau, dengan usia kemerdekaan yang kini memasuki ke 65 tahun, sambutan seharusnya dizahirkan dengan lebih baik melalui pelbagai platform sejajar dengan kehendak semasa.

“Kepada peserta konvoi, rakamlah gambar ketika berada di setiap daerah agar apa yang kita kecapi selama ini mampu dilihat kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Terdahulu, Isnin yang juga ADUN Klias turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan seterusnya menandatangani Buku Lawatan KMKM 2022.

Hadir sama Pegawai Daerah, Mohd Nazri Ajun, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Lumadan, Dioslin Agustine, Ketua Trafik Daerah IPD Beaufort, ASP Sabaruddin Makurade serta Pegawai Penerangan Daerah, Awang Muil Awang Raya.-PENERANGAN.

scroll to top