KPDNHEP rampas 15,000 liter diesel bersubsidi

Sebanyak 15,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diselewengkan dirampas hasil serbuan terhadap sebuah stor di Kampung Iran, di sini, petang semalam.

BELURAN: Sebanyak 15,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diselewengkan dirampas hasil serbuan terhadap sebuah stor di Kampung Iran, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan 2.33 petang itu, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati semua minyak diesel berkenaan disembunyikan di dalam lori tangki dan tong drum.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan hasil risikan selama tiga hari oleh pasukan penguatkuasa KPDNHEP.

Katanya, dua lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga stor dan pemandu lori turut ditahan untuk diambil keterangan.

“Hasil pemeriksaan awal, kedua-dua penjaga stor dan pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati, minyak berkenaan dipercayai untuk dijual kepada pihak industri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Georgie berkata, pasukan penguat kuasa turut menemui alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu dua lori, pam elektronik dan hos dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM159,500.

Katanya, semua barangan berkenaan dirampas dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

scroll to top