KPDNHEP rekod 1,453 aduan, sepanjang tahun lalu

RASMI ... Georgie merasmikan pelancaran Sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 1,453 aduan, sepanjang tahun lalu.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, daripada jumlah itu, 546 atau 37.5 peratus adalah aduan berhubung transaksi atas talian yang siasat dan diselesaikan.

Katanya, begitu juga dengan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Cawangan Sabah yang menerima sebanyak 32 kes tuntutan membabitkan pembelian atas talian.

“Semua aduan yang diterima sudah disiasat dan diselesaikan. 30 kes tuntutan pembelian atas talian membabitkan nilai tuntutan berjumlah RM42,952.50 diselesaikan.

“Kita berharap pengguna di Sabah dapat memainkan peranan masing-masing untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam berdepan ancaman penipuan, penggodam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022, kelmarin.

Georgie berkata, pihaknya mensasarkan untuk melahirkan komuniti pengguna yang menyedari hak mereka, mampu membuat keputusan yang tepat terutamanya apabila berkaitan dengan transaksi wang ringgit dan lebih bijak berbelanja.

“KPDNHEP juga berharap agar pengguna memahami arus teknologi digital dan seterusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital,” katanya.

Georgie berkata, KPDNHEP menetapkan sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan di seluruh negara ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti dan program berkenaan kepenggunaan.

Katanya, objektif Bulan Pengguna Kebangsaan ini adalah untuk memperkasa pengguna supaya menjadi lebih cakna dan berdaya upaya dalam pelbagai aspek terutamanya aspek perlindungan pengguna.

“Tema bagi Hari Pengguna Kebangsaan pada tahun ini yang ditetapkan adalah ‘Digitalisasi Pengguna’ bersesuaian dengan tema sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia (HHPS) iaitu “Fair Digital Finance” atau kesaksamaan dalam kewangan digital.

“Ia menumpukan kepada kesaksamaan dan perlindungan dalam aktiviti kewangan secara dalam talian,”katanya.

Menurutnya, pemilihan tema ini bertepatan dengan senario pandemik Covid-19 yang mana sebahagian besar transaksi bayaran, jual beli dan sebagainya dilakukan tanpa sentuhan dan transaksi dalam talian adalah platform yang paling selamat dan efisien.

scroll to top