Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN
KOTA BELUD: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tamau melancarkan Bank Makanan untuk membolehkan masyarakat kampung itu menyumbang kepada golongan masyarakat yang terkesan akibat Pandemik Covid-19.
Pengerusi KRT Kampung Tamau, Razak Haji Rakunman memberitahu semua penduduk Kampung Tamau dan sekitarnya boleh mengambil barangan mengikut keperluan.
“Ambil ikut keperluan, derma ikut kemampuan,” katanya selepas pelancaran Bank Makanan Kampung Tamau itu pagi tadi.
Bank Makanan Kampung Tamau itu diletakkan di depan Walai Tanu Kampung Tamau.
KRT Kampung Tamau mengambil inisiatif untuk mendirikan Bank Makanan bagi memberi ruang kepada warga yang kehilangan sumber pendapatan dan memerlukan bantuan makanan untuk mendapatkannya di pondok di depan Walai Tanu.
“Kami juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada dermawan yang memberikan sumbangan barangan makanan untuk bank makanan,” kata Razak.
“Datanglah ambil keperluan anda, mana yang anda perlukan sahaja, pelbagai barangan ada di sini terutamanya beras,tepung, kopi, sardin, mi, air mineral, sabun kecuali gula kerana kehabisan bekalan dalam pasaran,” katanya.
Razak berkata, pondok Bank Makanan itu akan dibuka sehingga pandemik Covid-19 berakhir.