Kru Kapal TLDM Cetus Kluster Lautan Biru Pantai

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Jangkitan penularan COVID-19 kalangan kru kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencetuskan kluster baharu di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Lautan Biru Pantai melibatkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau yang dikategorikan sebagai kluster institusi pertahanan.

“Kes indeks merupakan kru kapal lelaki, yang berlepas dari TLDM Lumut Perak pada 27 Oktober 2021.

“Dalam saringan COVID-19 sebelum berlepas ke TLDM Sepanggar, kes indeks serta semua kru kapal didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.

Katanya, pada 1 November 2021, kapal berkenaan tiba di TLDM Sepanggar dan selepas menjalani operasi selama seminggu, kapal kemudiannya berangkat ke Sandakan dan Tawau sebelum kembali semula ke TLDM Sepanggar pada 18 November 2021.

“Semasa persinggahan, kes indeks dikesan positif COVID-19 menerusi saringan bergejala di Sandakan, manakala satu kes lagi dikesan di Tawau melalui saringan kendiri dan telah menjalani kuarantin di daerah masing-masing.

“Setibanya di TLDM Sepanggar, didapati tiga kes positif hasil saringan bergejala. Saringan menyeluruh kemudiannya dijalankan terhadap 134 kru kapal dan menemukan 93 kes positif COVID-19 sebagai jumlah kumulatif termasuk 91 kes yang dilaporkan hari ini (kelmarin),” katanya.

Masidi berkata, semua kes dan kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin dan rawatan yang sesuai.

scroll to top