Kumpulan Penyelidik Wali Songo buat penyelidikan di Sabah

SELEPAS PERBINCANGAN…Kumpulan Penyelidik Wali Songo mengadakan perbincangan dengan penyelidik sejarah Islam di Sabah.

KOTA KINABALU: Kumpulan Penyelidik Wali Songo diketuai Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Dato Dr Jamil Haji Hamali mengadakan penyelidikan mengenai sejarah kemasukan Islam ke Sabah bermula 28 Feb hingga 8 Mac.

Sepanjang berada di Sabah, rombongan itu mengadakan lawatan ke Muzium Sabah, selain mengadakan lawatan ke Kota Belud untuk meninjau kewujudan Batu Nisan bertarikh 30 Jamadil Awal 132 H  di tanah perkuburan lama di Rebuk Rampayan Ulu dan kemudian melawat ke Lahad Datu untuk melihat manuskrip lama Idahan milik Allahyarham Imam Injir bin Panjang.

Kumpulan Penyelidik Wali Songo diketuai Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dato Dr Jamil Haji Jamali dan dianggotai Prof Dr Firdaus Abdullah, Prof Madya Dr Hadenan Towpeq, Prof Madya Dr Abdul Razak Kadir, Prof Madya Dr Saimi Bujang, Prof Madya Sharifah Anom Omar, Ustaz Dr Mohd Syahiran Abdul Latif.

Selain itu, satu sesi perbincangan santai bagi menyingkap sejarah kemasukan Islam ke Sabah diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri pada Jumaat.

Hadir sama dalam perbincangan santai itu ialah Rektor UiTM Sabah, Datuk Prof Madya Dr Haji Abdul Kadir Haji Rosline ,Pakar sejarah Islam Sabah, Dr Haji Suwaid Tapa, Pengarah Muzium Sabah, Arif Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Muzium Sabah, Aldofus Lester John Milip dan Wartawan, Abd Naddin Haji Shaiddin yang juga Ketua Penerangan Persatuan Sejarah Iranun Sabah.

Kajian Wali Songo itu cuba menyingkap hubungan Islam di Jawa dan Borneo melalui pengaruh dan amalan wali songo  yang sememangnya memberi kesan secara langsung perkembangan dan masyarakat Islam di Borneo.

Kajian Wali Songo adalah dilihamkan olen Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud bagi memastikan sejarah perkembangan Islam terus terpelihara dan dibukukan untuk generasi akan datang.

scroll to top